Terjemahan Suhbah Jumaat 2hb Mac 2012

Assalamu’alaikum Wr Wb

Alhamdulillah syukur kepada Allah yang telah mencatatkan nama-nama kita untuk hadir dalam majilis yang penuh barakah ini. Alhamdulillah pada minggu yang lalu saya telah diberi kesempatan menunggang kuda, yang mana kegiatan menunggang kuda sangat sesuai untuk perkembangan jasmani dan rohani. Saya sendiri mengalami perubahan positif atas tubuh badan terutama di bahagian lutut yang dah bertahun terjejas dek penyakit gout. Amat ketara kesan positif keatas otot-otot dibadan walaupun hanya selepas dua jam menunggang kuda.

Lebih utama ialah hubungan kegiatan menunggang kuda secara simbolik keatas perkembangan rohani seseorang untuk menundukkan egonya yang sentiasa cenderung menguasai perasaan dan fikirannya ke arah “keduniaan” dan “keAKUan”! Ini ditekankan oleh pelatih kuda (horse trainer) betapa mustahaknya kita menguasai kuda dan tidak membiarkan kuda MENGUASAI kita! Maulana sentiasa mengingatkan kita bahwa ego kita diibaratkan seperti kuda-kuda liar yang kita mesti tundukkan dan menguasainya untuk menunggang dengan jayanya ke Istana Raja! Setiap indvidu dikurniakan kuda yang liar. Terpulang kepadanya untuk menjinakkan kuda itu supaya mengikut arahannya, atau membiarkan dirinya dikuasai oleh kuda liar yang membawanya kearah kemungkaran!

Kita mengalami semua ini ketika mengunggang kuda. Untuk menguasai kuda tunggangan kita memerlukan kepakaran, kekuatan, kesabaran dan teknik menundukkan kuda itu mengikut arahan kita. Ia memerlukan latihan dan pengalaman yang berpanjangan untuk benar-benar menguasai kuda liar ini. Pelatih kuda yang bersusia 76 tahun dengan pengalaman selama lebih 50 tahun menceritakan bagaimana beliau pernah duduk dalam hutan selama 2 minggu memerhatikan kuda-kuda liar untuk ditangkap dan dijinakkan menjadi kuda tunggangan sultan. Beliau memilih kuda yang paling liar dan degil untuk ditawan dijadikan kuda sultan. Apabila kuda yang paling liar dijinakkan ia akan menjadi kuda yang paling baik!

Kuda liar yang ada pada diri setiap individu adalah nafsu kita yang sememangnya cenderung kepada kemewahan, keseronokan, kemegahan, syahwat dan kesenangan dunia. Apabila kita berjaya menawan dan munundukkan serta mengawal kuda liar ini, maka mudahlah kita menuju ke Mahligai Sultan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Setiap yang dicipta oleh Allah mempunyai tujuan hidup. Manusia dicipta untuk beribadah, untuk menjadi khalifah di atas bumi ini. Apabila ia gagal melaksanakan tugasnya, maka ia akan kembali kepada Allah sebagai sesuatu yang tidak berharga.

Tidak ada sesuatu yang diciptakan oleh Allah yang tak ada gunanya. Serangga seperti lalat dan nyamuk membawa gangguan dan kecelakaan kepada manusia tetapi membawa kekayaan dan keuntungan kepada manusia lain. Ada seorang hamba Allah yang benci kepada lipas dan berusaha membunuh setiap lipas di rumahnya. Pada satu hari kakinya luka dan luka itu semakin melarat. Dia terpaksa duduk di luar rumahnya dan menjemur kakinya di panas cahaya matahari untuk menghilangkan gatalnya. Kebetulan seorang wali Allah lalu di hadapan rumahnya dan memberitahunya pekung dikakinya boleh diubati dengan membunuh lipas, menjemurnya sehingga kering kemudian ditumbuk dijadikan tepung halus serta disapukan keatas pekung itu. Dengan izin Allah pekung di kakinya pun sembuh. Lihatlah bagaimana lipas-lipas yang selalu mengganggunya dan selalu dihapuskannya ternyata dapat menolongnya menyembuhkan penyakitnya!

Manusia diciptakan sebagai sebaik-baik kejadian. Tetapi jika dia tak dapat membendung nafsunya, maka dia akan berubah menjadi seburuk-buruk kejadian. Oleh itu setiap insan perlu mengendalikan kuda liar untuk mencapai cita-citanya menjadi insan kamil-mukamil agar dapat menghadapi Allah, berubah dari nafsu ammarah kepada nafsu mutma’innah serta kembali kepada Allah dalam keadaan REDA dan diREDAI!

Berbalik kepada pelajaran menunggang kuda tadi. Apabla kami dah dapat menguasai kuda tunggangan kami dengan baik, jurulatih kami membenarkan kami menunggangnya ke padang yang luas sebab kuda kami dah menurut semua perintah dan arahan kami – bergerak, berhenti, pusing ke kanan dan ke kiri serta memecut bila dikehendaki. Dah cukuplah tu! Cuma jangan biarkan kuda itu mengengkari arahan kita dan menguasai kita! Begitulah dengan ego kita. Jika kita tak pandai mengawalnya, kita akan dikawal olehnya dan sentiasa menurut tandak-tanduknya!

Jika kita ditakdirkan kekal di alam ruh, maka hidup kita seperti cahaya yang tak punya nafsu dan ego, seperti malaikat yang kerjanya hanya bertasbih memuji Allah. Tetapi kita diciptakan sebagai insan di atas bumi yang terpaksa bergelut dengan kehidupan yang penuh cubaan untuk kita mengatasi setiap rintangan, meningkatkan diri menuju ke arah Ilahi. Sebab itu dari alam ruh Allah masukkan ruh kita ke dalam jasad, seperti memasukkan burung ke dalam sangkar! Itulah hakikat hidup kita di dunia. Kita seperti di dalam sangkar dan kita mesti belajar bagaimana nak terbang, sebab satu masa nanti sangkar akan dibuka. Sekiranya kita tak bersiap sedia dari sekarang, kita tak akan dapat terbang ke destinasi Ilahi. Kita juga seperti ulat bulu di dalam kepompong yang mesti bersedia untuk terbang menjadi rama-rama apabila kepompong kita pecah! Apabila kita solat kita sudah mi’raj!

Kita dijadikan insan yang lemah, yang memerlukan makanan, minuman, tidur dan macam-macam keperluan hdup. Kita perlu sentiasa bernafas untuk hidup. Apabila kita tidur kita dah tak ada kuasa di atas pernafasan kita. Jika Allah tak aturkan pernafasan kita, kita akan mati dalam tidur. Dalam dunia ini hanya ada dua kedudukan – sebagai hamba atau sebagai tuan. Kedudukan sebagai TUAN dah dipenuhi, yang tinggal hanya kedudukan sebagai hamba. Jika kita menolak jawatan sebagai hamba kita akan menjadi seperti sampah yang hanya layak berada di tempat yang hina – di tong sampah. Semua sampah-sampah akan berakhir dalam tempat pembakaran sampah (neraka jahannam).

Melalui pernafasan, kita mesti sedar bahwa kita tidak punya kuasa. Kita senantiasa memerlukan udara yang Allah sediakan untuk terus hidup. Jadi, kita ini manusia yang sangat lemah (La haula wa la Quwwata illa Billah). Maqam kita adalah maqam hamba BUKAN MAQAM TUAN! Tidak perlu bagi insan untuk menunujuk-nunjuk AKU pandai, AKU kaya, AKU hebat sebab segalanya MILIK ALLAH! Fir’aun merasa megah dan takbur sebab dia dijadikan dengan keistimewaan perlu buang air besar setiap 40 hari dan bukan setiap hari seperti insan biasa. Justru itu dia mengaku dirinya TUHAN! Hanya dengan anugerah yang sedikit itu sahaja dia lupa diri dan mengaku dirinya Tuhan!

Allah telah menganugerahkan hanya segelintir sifat-sifatNya seperti sifat pengasih, penyayang serta rahsianya kepada manusia dan memberitahu para malaikat betapa hebatnya ciptaan manusia. Bagaimana pun sifat bermegah-megah, sombong dan berkuasa merupakan sifat yang tidak harus ada pada manusia. Tetapi kebanyakan manusia lupa bahwa apa yang ada pada dirinya hanyalah PINJAMAN SEMENTARA dari Allah dan setiap anugerah disertakan dengan TANGGUNGJAWAB di hari kemudian. Manusia dicipta dari tanah atau setitis air mani dan TIDAK PUNYA APA JUA PUN! Setiap pemberian adalah anugerah dari Allah, TUHAN semesta alam. Apabila kita menjadi bongkak, takbur, bermegah-megah, kita telah merampas MAHKOTA Allah!

Begitulah dengan kesah Fir’aun yang mengaku dirinya TUHAN sehingga Allah mengutuskan Nabi Musa untuk menemuinya. Apabila tukang-tukang sihir Fir’aun melemparkan tungkat mereka yang menjadi ular, maka Nabi Musa AS melemparkan tungkatnya yang bertukar menjadi naga yang menghembuskan api membunuh semua ular-ular yang ada. Fir’aun begitu takut melihat kejadian itu sehingga ia lari ke tandan dan terberak-berak. Sejak itu dia buang air besar 40 kali sehari dan bukan 40 hari sekali! Allah telah menarik balik keistimewaan yang diberkan kepada Fir’aun.

Kita mesti ingat tidak ada satu pun yang milik kita. Kita terus bernafas dengan izin Allah. Kita akan mati kalau Dia menarik pernafasan kita walaupun sebentar! Semasa bernafas kita dianjurkan supaya berzikir dengan nama Allah „HU“. Maulana lebih suka kepada perkataan „WHO“ dalam Bahasa Inggeris yang membawa pengertian SIAPA. Ini untuk mengingatkan kepada kita dalam setiap pernafasan „milik SIAPA“ segalanya! Kita semua tak punya apa-apa dan tak punya kuasa atau daya! Itulah pengakuan yang mesti ada pada setiap Sufi.

Oleh kerana roh kita telah dimasukkan ke dalam jasad, maka kita mesti ikut kehendak Syari’at. Kita tidak boleh meninggalkan SYARI“AT. Tidak sah perjalanan TARIQAT tanpa pengetahuan SYARI‘AT! Kita juga mesti mengamalkan perasaan „baik sangka“ terhadap orang lain. Misalnya kalau kita lihat seorang yang bertattu atau orang yang berambut perang atau orang yang berperangai anih, jangan sekali-kali kita buruk sangka atau membuat andaian yang buruk. Boleh jadi orang itu akan mengakhiri hidupnya lebih baik dari kita.

Pernah terjadi seorang sheikh berjalan di dalam hutan bersama murid-muridnya dan mereka ternampak sepasang manusia yang terlanjang bulat dalam sebuah khemah. Lantas murid-muridnya mengambil kesimpulan pasangan itu telah berzina dan perlu ditangkap dan dihukum. Sheikh tersebut melarang mereka dengan menjelaskan ini pasangan suami-isteri yang terlalu miskin sehingga tidak punya rumah dan pakaian. Lantas ia menyerahkan jubahnya untuk menutup tubuh pasangan itu. Shayk Adnan pernah berkata, „Carilah 70 alasan yang baik sebelum kita membuat andaian yang buruk!“ Ingatlah, jika kita menyembunyikan aib orang lain maka Allah akan menyembunyikan keaiban kita.

Ingatlah pesanan Maulana supaya kita jangan mengikut perangai lalat, yang sentiasa mencari tempat-tempat kotor dan bernajis serta menyebarkan kotoran dan najis ke merata tempat. Sebaliknya, ikutlah perangai rama-rama yang sentiasa mencari tempat-tempat cantik dan wangi seperti bunga-bunga dan kemudian membawa wangi-wangian ke mana mereka pergi. Dari sekarang kita mesti melatih diri kita agar apabila kita bertemu sesaorang, kita tidak mencari-cari keburukannya. Sebaliknya kita akan cuba sedaya upaya untuk mencari kebaikan yang ada padanya. Misalnya bila kita seorang gadis yang tak bertudung atau menutup aurat tetapi dia memberi salam dengan senyuman manis, kita akan berkata, „Masya Allah, sungguh manis budi pekertinya!“

Maulana pernah menceritakan kesah seorang sheikh yang sedang berkelah di tepi pantai bersama murid-muridnya apabila mereka terlihat sebuah bot di mana 30 hingga 40 anak-anak muda sedang berseronok-seronok minum minuman keras (beralkohol) terhoyong hayang kerana mabuk. Murid-murid terus mencaci dan mengutuk perbuatan mereka seraya meminta sheikh melaknati mereka supaya mereka diseksa di dalam neraka kerana bernai berkelakuan tidak senonoh dan memalukan penganut Islam. Sheikh tadi mengangkat tangan dan berdo’a, „ Ya Allah, mereka semua mabuk dengan keseronokan dunia, jadikanlah mereka mabuk di akhirat dengan kecintaan terhadap MU!“

Oleh kerana Allah mengkabulkan do’a sheikh tadi, tiba-tiba mereka membuat keputusan untuk ke pantai dengan tujuan nak mengusik dan mempersendakan kumpulan yang sedang berkelah di pantai. Kedatangan mereka disambut oleh sheikh tadi dengan lemah lembut, menjamu mereka makan serta mentalbiah mereka dengan kata-kata hikmah. Akhirnya kesemua anak-anak muda tadi mengambil botol-botol arak mereka dan menghumbankan ke dalam laut. Mereka berbai’at dengan sheikh di situ juga. Dari pemuda-pemuda yang suka berpoya-poya mereka akhirnya berubah menjadi murid-murid yang paling baik.

Untuk mengakhiri suhbah kita diingatkan supaya sentiasa berSANGKA BAIK terhadap manusia, terhadap sheikh dan terhadap ALLAH. Terima denagn redha apa jua ketentuan Allah sambil mengatakan „Tentu ada HIKMAH di sebalik setiap kejadian, samaada baik atau buruk.“ Kesimpulannya: Bersangka baik dan lihatlah kebaikan pada diri orang lain dan perhatikanlah kelemahan diri sendiri serta sentiasa BERSANGKA BAIK TERHADAP ALLAH!

AL FATEHA.


Print Friendly, PDF & Email
This entry was posted in Sesi Pengongsian Kerohanian (Singapura). Bookmark the permalink.